Monday 5 December 2016

CARA HALANG SYAITAN DEKATI ANAK

 
Halang syaitan dekati anak.  Didik anak dengan kasih sayang.  Mendidik anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa. Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah. Sebagai ibu bapa, kita perlu ingat, anak-anak adalah amanah Tuhan kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya.

Mereka lahir seperti kain yang putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat celanya. Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna tertentu. Dalam membesarkan anak-anak, pelbagai kesilapan dilakukan tanpa kita sedari. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan mengenai aspek keibubapaan.

Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.  

Salah satu cara mendidik ialah mewujudkan suasana kehidupan keluarga berdasarkan amalan muslim.  Ketika membaca ayat al-Quran, lakukan berhampiran bayi.  Bacaan ayat suci al-Quran menghalang syaitan mendekati anak-anak.  Amalan itu juga akan tersemai di dalam diri anak-anak dan menjadi amalan apabila dewasa.  Justeru, jangan kita abaikan didikan agama untuk anak-anak.

Ibu bapa juga perlu memberitahu kepada anak-anak tentang amalan baik yang lakukan.  Umpamanya jika ingin bersembahyang, beritahu anak tentang tanggungjawab bersembahyang bagi setiap muslim.  Anak-anak mendengar dan kemudian melihatnya memberi kesan mendidik yang lebih baik.

Biarpun perbuatan itu dirasakan janggal, lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.  Apabila anak semakin membesar, mereka mudah memahaminya.  Jika tidak dimulakan sejak awal, sukar untuk dilakukan kemudiannya.  Proses mendidik anak adalah tugas berperingkat-peringkat dan berterusan.

Dalam pendidikan Islam terdapat tiga perkara utama perlu ditekankan iaitu pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.  Ketiga-tiganya asas tonggak membentuk seseorang muslim sejati yang meliputi rohani dan jasmani.  Ketiadaan unsur ini menjadikan anak hilang panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Pendidikan akidah adalah tunjang kepada kehidupan.  Permulaan kalam ialah kalimah ‘Allah’.  Setiap muslim wajib berpagan kepada kalimah ‘bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah’ dan mengakui kekuasaan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Lukman pernah berkata kepada anaknya dan mengajarnya: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah; sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kesalahan yang besar.” (Surah Lukman, ayat 13).

Sebagai balasan kepada ibu bapa atas tanggungjawabnya, anak-anak perlu mentaati ibu bapa.  Kedudukan amat tinggi yang mesti diberi setiap anak kepada ibu bapa mereka. 

Firman Allah surah Lukman ayat 14 bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (upaya berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya mengandungkannya dengan menderita dalam keadaan lemah berterusan dan mencerai susu salam usia dua tahun.”  

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu adalah waktu, yang menipu itu adalah dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu adalah amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah membuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering kita lupa adalah bersyukur."

No comments:

Post a Comment