Thursday, 1 December 2016

DERMA DARAH TIDAK BAHAYA


Individu kehilangan banyak darah akibat luka, kemalangan, ibu bersalin, pembedahan dan sebagainya perlu dipindahkan atau dimasukkan darah yang didermakan oleh individu lain.  Individu kehilangan darah mungkin berdepan ancaman maut jika tidak menerima darah yang mencukupi.  

Dengan kata lain, menderma darah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa mereka yang amat memerlukan bantuan.  Setitik darah yang didermakan bakal menyelamatkan nyawa.  

Justeru, lebih banyak penderma darah perlu tampil untuk menderma darah.  Bakal penderma tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri sendiri akibat menderma darah.

Menderma darah bukan sahaja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan.  Sebelum bakal penderma darah menderma darah, terlebih dahulu tahap kesihatannya diperiksa bagi memastikan tidak ada kesan buruk selepas menderma darah. 

Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa amat singkat.  Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma darah. Perasaan relek dan puas lahir dalam diri setiap kali dapat menderma darah.  

Hakikat menderma darah tidak membahayakan diri dan tidak mendatangkan kesan sampingan tidak perlu diragui.  Di negara kita sudah ramai menderma lebih 100 kali dan keadaan mereka masih sihat. 

Mereka terus setia menjadi penderma darah dan tidak pernah mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan.  Bahkan, mereka tidak mengenali dan tidak pernah ambil peduli kepada siapa darah mereka didermakan atau dipindahkan.     

Bersimpatilah kepada mangsa yang amat memerlukannya dan bayangkan anda  sendiri memerlukannya. 

Bagaimana perasaan pada masa amat memerlukan darah yang menentukan hidup mati, tetapi tidak sesiapa sudi mendermakannya. Jadikan amalan menderma darah sebagai satu perkara yang diutamakan.  

Sebenarnya, tidak rugi mendermakan darah kerana ia akan diganti secara automatik oleh badan.  Penderma darah tidak berasa kekurangan darah akibat menderma darah.  Kuantiti darah yang didermakan atau dikeluarkan dari badan penderma tidak memberi kesan buruk kepada diri penderma darah.

Sesungguhnya amat besar pahala mereka yang melakukan kebaikan dengan cara apa sekalipun, lebih-lebih lagi dalam perkara penting yang menentukan hidup mati. 

Renungkan firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat kebajikan walaupun sebesar zarah, pasti akan diberi pembalasannya, dan sesiapa juga membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, akan juga mendapat pembalasannya,”

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: “Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya.  Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang muslim, maka Allah melepasngkan pula kesusahnnya kelak pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)

Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. 

Bagaimanapun, jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.

Melalui kaedah Aferesis, darah dari badan penderma akan terus masuk ke dalam mesin yang akan mengasingkan sel darah merah dari plasma dan platelet. Plasma dan platelet akan dikumpul di dalam beg berasingan. Manakala sel darah merah akan dikembalikan atau masuk semula ke dalam badan penderma.

Banyak individu yang memberi alasan tidak mahu menderma darah.  Kononnya perasaan takut, tidak sihat, sibuk, telah menderma sebelum itu dan pelbagai alasan lain diberikan.  Semakin banyak alasan yang diberikan, lebih banyak pesakit yang menderita.  

Contohilah mereka yang telah lama menjadi penderma darah. Bersama-sama mereka membantu mangsa yang amat-amat memerlukan bantuan anda.



No comments:

Post a Comment