Monday 2 January 2017

KETOKOHAN NABI DIAKUI BUKAN ISLAM

Nabi Muhamad tokoh sepanjang zaman. Perkara ini bukan saja diakui penganut Islam, bahkan di kalangan bukan Islam. Biarpun tidak menganut Islam, tetapi mereka tidak dapat menafikan bahawa Rasulullah adalah individu terbaik yang pernah mendiami dunia ini.

Sirah Rasulullah SAW penuh tauladan untuk diikuti dan dijadikan panduan hidup. Antara yang menjadi contoh terbaik ialah sikap Rasulullah SAW dalam menjadi contoh ketua keluarga dan suami. Rasulullah SAW memiliki 'pakej lengkap' dalam semua aspek kehidupan.

Kedudukan Rasulullah SAW sebagai insan istimewa bukan sahaja diiktiraf oleh umat Islam, bahkan turut mendapat perhatian pengiktirafan bukan Islam.

Seorang Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi Amerika Syarikat, Michael H.Hart  menerbitkan sebuah buku pada tahun 1978 bertajuk "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" yang terjual hampir 500,000 naskhah pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan sebagai Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh yang lain. 

Kehebatan dan ketokohan baginda bukan sahaja dalam aspek penyebaran nur Islam semata-mata seperti Rasulullah iaitu pesuruh Allah. Malah meliputi semua aspek, bagindalah seorang nabi dan rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan atau sahabat dan pelbagai lagi. 

Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud : "Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang)". (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Seseorang individu muslim yang mengimpikan sebuah keluarga bahagia, Rasulullah SAW adalah rujukan dan contoh ikutan terbaik. Antara contoh yang patut diikuti ialah sikap baginda sangat menghargai isteri-isteri baginda dengan mempamerkan akhlak yang tinggi disulami kasih sayang, bantu membantu, mengambil berat dan bertimbang rasa.

Baginda tidak pernah walau sekalipun melakukan kekasaran kepada isteri-isteri baginda. Apa yang dipamerkan adalah tahap kesabaran yang tinggi. Keindahan dan keharmonian dalam berumahtangga akan terserlah dengan wujudnya sifat saling faham memahami dan hormati menghormati antara satu sama lain.

Berdasarkan sirah, Nabi Muhammad SAW tidak keberatan membantu isteri baginda menyiapkan kerja-kerja rumah yang lazimnya dilakukan para isteri.

Menurut Ibn Hajar, Aisyah meriwayatkan katanya: "Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka." (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban). 

Sikap membantu isteri sebegini bukanlah menjadi kehinaan dan menjadikan seseorang suami itu rendah martabat dan darjatnya serta timbul pula istilah moden yang mengatakan 'takut isteri atau takut bini.' 

Malah jika semua merenung kembali bagaimana sesebuah rumah tangga itu terbina atas rasa persefahaman dan kemesraan.

Sikap mulia yang dibawa oleh Rasulullah SAW terhadap para isteri yang diakui oleh Aisyah yang meriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya. (Hadis riwayat Bukhari). 

Pernah juga diceritakan bahawa Aisyah amat terharu atas pengorbanan Rasulullah SAW  sewaktu hendak memulakan suatu perjalanan, baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa. Anas pernah mengatakan baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta. Sebenarnya dengan melakukan perkara sedemikian, menjadi pengikat tanda kasih sayang. 

Inilah yang tersirat dalam sabda Rasululah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku". (Hadis riwayat Tirmizi). 

Secara mudahnya, tonggak kehidupan dalam rumah tangga walau tidak diselimuti harta benda dan kemewahan ia masih ada ruang untuk umat Islam mengecapi bahagia dan harmoni asalkan landasannya berpaksikan perintah keagamaan menerusi amalan-amalan terbaik yang dipaparkan oleh baginda SAW terhadap ahli keluarga baginda. 

Allah SWT mengingatkan suami isteri sentiasa memohon agar kehidupan berumahtangga dalam keadaan bahagian. Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa."  (Surah al-Furqan, ayat 74) 

Nabi Muhammad SAW digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlaknya yang tidak ada tolak banding.  Seluruh cerdikawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama ada beragama Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai The Saviour of Humanity (Penyelamat Manusia Sejagat).

Lothrop Stoddard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The New World of Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah suatu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia.       

Dalam menjalankan tugas kerasulan, Nabi Muhammad SAW tidak terikat dengan mana-mana fahaman. Sebaliknya, baginda berdakwah berdasarkan kepada wahyu daripada Allah SWT. Justeru, apa yang dilakukan adalah tepat dan benar belaka kerana mendapat bimbingan terus daripada Allah SWT.   

Dengan kata lain, baginda bebas daripada ikatan mana-mana pihak. Baginda tidak dipilih oleh mana-mana pihak untuk menjadi pemimpin, sebaliknya baginda yang memimpin berdasarkan perintah Allah SWT. 

Justeru, baginda tidak melalui sebarang proses pertandingan untuk menjadi pemimpin. Jawatan baginda sebagai pemimpin manusia dianugerah oleh Allah SWT.   

Sebab itu, baginda bebas daripada sebarang sifat-sifat buruk seperti biasa diamalkan mereka yang gilakan kuasa dan pangkat. Rasulullah juga tidak mengamalkan sifat buruk yang biasa dikaitkan dengan pemimpin.

Sikap mewah, menyahgunakan kuasa dan tidak adil tidak ada satupun tercatat dalam sirah Rasulullah SAW. Biarpun pihak musuh Islam cuba mencipta satu gambaran buruk mengenai sikap kepimpinan Rasulullah SAW, perkara itu tidak berjaya mempengaruhi pihak yang sedar mengenai kesempurnaan pekerti baginda. 

Semakin banyak cerita buruk direka-reka mengenai keperibadian Rasulullah SAW, lebih banyak orang mengenai baginda sebagai manusia yang sempurna sifat pekertinya. Malah ada yang memeluk Islam hasil daripada mulanya perasaan benci akibat cerita buruk, tetapi berubah setelah membuat penilaian dengan hati yang terbuka.    

Paling penting, orang Islam sendiri perlu teguh pendirian dalam mempertahankan Rasulullah SAW.  Sebarang bentuk penyelewangan fakta mengenai Rasulullah SAW perlu diperbetulkan.

Namun, usaha itu perlu dilakukan secara berhemah. Jangan sekali-kali kita melakukan perbuatan yang tidak dianjurkan oleh Islam.

Pihak bukan Islam sengaja mencari jalan untuk memberi tekanan dan melabelkan Islam sebagai agama keganasan dan mundur. Perkara ini memerlukan jihad umat Islam untuk mengubah presepsi buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

No comments:

Post a Comment