Wednesday 20 September 2017

USAHA BEBAS BABAN HUTANG

Secara umumnya, pada masa kini, berhutang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Islam tidak melarang hutang, tetapi tidak menggalakkan, kecuali terpaksa. Pun begitu, instrument hutang sudah menjadi sebahagian keperluan hidup. 

Pinjaman perumahan, kereta, perniagaan, pendidikan dan keperluan lain sudah menjadi trand masyarakat kita. Kini, penggunaan kad kredit sudah menjadi satu amalan yang diterima secara meluas.

Ada pandangan yang mengatakan, lebih baik tidur tanpa makan terlebih dahulu, daripada bangun esok pagi dengan banyak hutang. Langkah terbaik yang dapat dilaksanakan pada suatu hutang adalah membayarnya.

Islam menggalakkan supaya orang yang berhutang membayar hutang supaya dapat hidup merdeka. Mereka yang berhutang adalah hamba. Kita sentiasa terikat dengan bayaran secara bulanan atau tempoh masa yang dipersetujui. Jika tidak membayarnya, tindakan dikenakan oleh pihak pemberi pinjaman. 

Maka, untuk hidup bebas, elak daripada berhutang. Bagi mengelakkan berhutang, hiduplah secara sederhana dan berbelanja secara berhemah.

Luqman Al-Hakim pernah mengungkapkan kata-kata: "Aku memindahkan batu dan membawa besi yang kuat, namun aku belum mendapatkan sesuatu yang lebih berat daripada hutang."

Pada dasarnya, Islam tidak melarang berhutang, tetapi tidak menggalakkan jika ia tidak dianggap satu keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan satu budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara suka-suka.  

Sepatutnya kita merasa ‘malu’ hendak berhutang kerana ia dikaitkan dengan kemiskinan dan ketidakupayaan dari segi kewangan. Mengapa berhutang dijadikan budaya sedangkan ia bukan keperluan amat penting yang sehingga mewajibkan berhutang seperti untuk keperluan perubatan dan pendidikan.

Amalan berhutang merupakan hakikat bahawa kehidupan manusia tidak dapat lari daripada memohon bantuan pihak lain. Allah SWT menjadikan manusia berbagai-bagai bangsa dan kedudukan ekonomi yang berbeza-beza agar mereka dapat saling membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Malangnya ramai mengambil kesempatan di atas kesengsaraan orang lain. Ada pihak menghulurkan bantuan, tetapi sebenarnya terselit racun berbisa. Mereka menjadikan orang terdesak memerlukan bantuan sebagai sasaran untuk dijadikan mangsa.

Kegiatan pemberi hutang (pemiutang) tidak berlesan atau dikenali Along semakin berleluasa. Kegiatan ini didorong oleh permintaan orang ramai yang ingin berhutang disebabkan memerlukan wang segera dengan cara mudah.

Kegiatan Along tidak berkembang jika tiada permintaan daripada orang ramai. Ini membuktikan ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan hidup terdesak dan pelbagai tujuan.

Berhati-hatilah dalam soal hutang. Berbelanja ikut kemampuan, bukan ikut kehendak. Kata pepatah, "ukur baju pada badan sendiri".

No comments:

Post a Comment